Sunday, January 12, 2014

PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU


DASAR DAN KESAN PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu bermula pada 15 Februari 1942 sehingga 12 September 1945.Pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura berlangsung selama 3 tahun 8 bulan.Pendudukan Jepun ke atas Tanah Melayu adalah kerana desakan perkembangan perindustrian dan ketenteraan yang berlaku di Jepun.

- Jepun mengambil tindakan untuk menyerang negara-negara Asia yang kaya dengan bahan mentah bagi keperluan perindustrian dan ketenteraan. Walaupun tempoh masa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu adalah singkat namun Jepun telah berjaya menguasai politik, ekonomi, dan sosial Tanah Melayu.Kejayaan ini membawa kesan yang mendalam terhadap masyarakat di Tanah Melayu.



DASAR POLITIK:

Jepun memperkenalkan pentadbiran tentera di Tanah Melayu bercorak militer atau ketenteraan di bawah pengawasan seorang Jeneral. Pentadbiran di Tanah Melayu dibahagikan kepada dua iaitu Negeri-negeri Selat diperintah oleh seorang Gabenor yang beribu pejabat di Singapura.Nama Singapura diubah kepada Syonan yang bermaksud cahaya Selatan, manakala Semenanjung Tanah Melayu diperintah oleh seorang Presiden atau Gunseikan. Tanah Melayu dibahagikan kepada lapan wilayah dan setiap wilayah diketuai oleh seorang Gabenor Jepun.


JET PEJUANG DAN KERETA KEBAL YANG DIGUNAKAN OLEH TENTERA JEPUN


Jepun juga mengembalikan kuasa Sultan yang telah dirampas oleh Inggeris di Negeri-negeri Melayu tetapi sultan hanya sebagai ketua negeri dan menjalankan tugas sebagai Ketua agama Islam di negeri masing-masing.Jepun sebenarnya ingin mengambil hati para sultan agar apa-apa yang dihajati tercapai. Jepun ingin mendapatkan sokongan orang Melayu agar mereka akan terus mendapat gajaran disebalik perbuatan itu.

Bagi menjaga pemantapan setiap operasi yang dijalankan di Tanah Melayu Jepun membentuk pasukan keselamatan yang diketuai oleh Pegawai Jepun dan dianggotai perisik tentera iaitu Kempeitai untuk mengawal keamanan.Kempeitai sangat kejam dan telah menangkap dan membunuh ramai orang.Selain itu Tekikan ialah Pasukan mata-mata gelap yang bertugas untuk mencari musuh-musuh yang menyokong Inggeris yang menentang pemerintahan Jepun atau menghasut Melayu.

Sebaik sahaja Jepun menawan Tanah Melayu, Jepun bertindak membebaskan ahli-ahli kesatuan Melayu muda (KMM) yang dipenjarakan oleh British. Jepun juga menubuhkan semula KMM dengan melantik Ibrahim Yaacob sebagai pemimpin utama.Jepun cuba memperalatkan Ibrahim Yaacob untuk tujuan mendapatkan sokongan dan menyebarkan propaganda anti-British.

DASAR EKONOMI:

Sistem ekonomi bebas ditukar kepada sistem ekonomi kawalan. Perdagangan dengan dunia luar terputus.Jepun tidak menggalakan sebarang urusan perdagangan.Perdagangan singapura dan Pulau Pinang dengan dunia Barat terputus. Perniagaan dan perdagangan dalam negeri dikuasai oleh pihak Jepun.Jepun hanya berminat mengeksplotasi sumber alam negara kita bagi kepentingan negaranya. Galian besi dan bauksit dieksplotasi bagi kegunaan industri dan membuat senjata perang.

WANG POKOK PISANG YANG DIPERKENALKAN OLEH JEPUN


 Oleh sebab pengeluaran barangan makanan seperti beras tidak mencukupi maka Jepun telah memperkenalkan catuan beras pada tahun 1943. Penduduk Tanah Melayu perlu mendapatkan kupon dari Pejabat Kawalan Makanan untuk ditukarkan dengan beras. Setiap keluarga hanya dihadkan dua gantang beras sebulan. Untuk mengatasi kekurangan beras dalam negara Jepun telah bertindak memperkenalkan rancangan ekonomi pertanian iaitu rancangan tiga tahun sara diri. Selain itu Jepun memperkenalkan padi Taiwan yang membolehkan penanaman padi dua kali setahun.

Pihak Jepun juga menggalakkan supaya masyarakat tempatan menanam makanan yang lain seperti ubi kayu, keledek, jagung, sagu dan lada hitam. Pihak Jepun telah menebang ladang getah dan hutan bagi tujuan penanaman makanan seperti ubi kayu, sagu dan jagung.

Jepun telah mencetak mata wang Jepun yang dikenal sebagai Wang Pokok Pisang untuk menambahkan penggunaan mata wang baru.

DASAR SOSIAL:

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu Jepun menerapkan Dasar Niponisasi iaitu dasar Penjepunan terhadap Tanah Melayu.Antara dasar yang diterapkan ialah layanan yang berbeza diberikan kepada penduduk tempatan oleh pihak Jepun. Semua kaum iaitu orang melayu, Cina dan India mengalami penyeksaan, penderitaan, kebuluran, ketakutan dan pengangguran.Layanan yang berbeza ini menyebabkan atau mewujudkan permusuhan kaum antara orang Cina dengan orang Melayu.

Dasar Penjepunan juga dilakukan dalam sistem pendidikan iaitu sekolah-sekolah Inggeris dan Tamil diganti dengan sistem pendidikan Jepun. Sistem pendidikan ini menekankan beberapa aspek seperti pembentukan akhlak dan disiplin taat setia kepada Maharaja Jepun dan kepatuhan kepada kerajaan Jepun.

Selain itu kebudayaan Jepun disebarkan melalui sisitem pendidikan Jepun. Orang tempatan diajar tentang istiadat dan lagu kebangsaan Jepun iaitu Kamigayo. Lagu ini dinyanyikan pada setiap pagi ketika menghadap matahari terbit.

Selain pendidikan, pentadbiran tentera Jepun mengamalkan dasar berbaik-baik dengan orang Melayu dan India. Mereka menjalankan dasar menindas orang Cina dan tujuan dasar ini adalah disebabkan perasaan ingin membalas dendam ke atas orang Cina yang menyumbangkan sokongan kewangan dan peralatan perang kepada negara China semasa Perang China- Jepun 1937.


 Ramai orang India, Melayu, dan Cina telah dihantar untuk bekerja membina jalan keretapi maut di sempadan Tahunai-Burma. Beribu-ribu orang kehilangan nyawa semasa pembinaan projek tersebut.


KESAN POLITIK:

Pendudukan Jepun telah membangkitkan kesedaran politik dalam kalangan orang Melayu. Slogan Jepun iaitu Asia Untuk Orang Asia telah menambahkan keazaman dan semangat orang Melayu untuk mencapai kebebasan politik dan kemerdekaan.

Semasa pendudukan Jepun orang Melayu diberi jawatan-jawatan kanan seperti Pegawai Daerah. Pengalaman pentadbiran ini memberikan keyakinan diri kepada orang Melayu untuk mentadbir negeri mereka sendiri. Orang Melayu juga sedar bahawa mereka tidak boleh menaruh harapan mereka kepada British. Mereka harus menentukan nasib mereka sendiri.

Kejayaan Jepun dan kekalahan British telah mengikis kepercayaan bahawa kuasa British tidak boleh dikalahkan. Justru sikap anti-British semakin menebal dalam kalangan orang Melayu.

 Jepun menubuhkan semula KMM dengan melantik Ibrahim Yaacob sebagai pemimpin utamanya melalui KMM gerakan nasionalisme Melayu dihidupkan semula. Secara sulit KMM bergiat semula dalam menyemarakan sentimen anti-British dalam kalangan orang Melayu.KMM juga bersikap anti-Jepun. Apabila Jepun mengetahui kegiatan sebenar KMM, KMM dibubarkan dengan segera. Jepun kemudiannya menubuhkan Pembela Tanahair (PETA). Ahli-ahli Melayu dalam PETA diberi latihan ketenteraan.

Jepun juga membantu menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Namun orang Melayu tidak berjaya mendapatkan kemerdekaan daripada Jepun kerana Jepun telah menyerah kalah pada 1945.

Selain itu Parti Komunis Malaya muncul sebagai parti yang kuat dan telah menubuhkan MPAJA dengan bantuan British dan telah Berjaya melancarkan pemberontakan bersenjata pada Jun 1948.

KESAN EKONOMI:

Ekonomi Tanah Melayu merosot semasa pendudukan Jepun akibat taktik “Bumi Hangus” yang diamalkan oleh British. Banyak kemudahan awam seperti infrastruktur telah diletupkan oleh British.

Kemusnahan terhadap ekonomi terutama ladang getah dan lombong bijih timah telah berlaku dengan teruk.Taraf hidup penduduk merosot Tanah Melayu terputus daripada pasaran-pasaran antarabangsa. Perusahaan tempatan diambil alih oleh syarikat besar Jepun iaitu Mitsui dan Mitsubishi.

 Inflasi berlaku dengan kadar yang tinggi berikutan kekurangan barang keperluan utama, peningkatan harga barangan dan pengeluaran mata wang pokok pisang yang tidak terkawal.

Tanah Melayu mengalami kekurangan makanan seperti beras.Penduduk terpaksa menanam ubi kayu, keladi dan keledek. Perusahaan tempatan didirikan yang menghasilkan barangan seperti minyak masakan, sabun, gula, kertas, tali dan benang.


KESAN SOSIAL:

Sistem pendidikan Jepun menanam sifat kerajinan kepada para belia terutamanya kaum Melayu.Walau bagaimanapun, sistem pendidikan Jepun telah menanamkan rasa benci masyarakat setempat terhadap Jepun. Bahasa Jepun dijadikan sebagai Bahasa Pengantar di semua sekolah. Perasaan taat setia dan kepatuhan kepada Maharaja Jepun diberi penekanan.

Ekoran penindasan oleh Jepun, ramai orang Cina melarikan diri ke pinggir hutan.Mereka mendirikan petempatan dan menjalankan kehidupan seharian. Ini mewujudkan masalah setinggan di Tanah Melayu.Hal ini juga menyebabkan mereka menyertai PKM.

Kaum Melayu dan India diberi layanan baik tetapi ramai di antara mereka juga dihantar ke siam untuk membina Jalan Kereta Api Maut. Akibatnya ramai yang terkorban akibat seksaan dan jangkitan penyakit.

Kebuluran akibat kekurangan makanan semakin berleluasa dalam kalangan penduduk tempatan. Bekalan makanan seperti beras tidak dapat diimport dari Burma dan Siam akibat peperangan.

 Taraf kesihatan telah merosot akibat merebaknya penyakit tropika seperti beri-beri, taun dan malaria.Ubat-ubatan hanya untuk askar Jepun sahaja.



No comments:

Post a Comment